Print friendly version   print friendly version

9 July 2008
PANTAU RISIKO PESAKIT
Berita Harian, pg 10

Sistem data kiraan risiko penyakit bantu pesakit mengetahui sejauh mana tahap serius serangan jantung ke atas mereka

 

ENCIK Mohamad Yusoff Abdullah, 44 tahun, berasa agak sedih melihat beliau tergolong dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi mengalami serangan jantung kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya.

 

Risiko itu diletakkan oleh Dr Hwang Siew Wai, penolong pengarah Poliklinik Pasir Ris, sebagai lebih daripada 20 peratus dalam tempoh 10 tahun.

 

Tetapi sungguhpun jangkaan itu pahit untuk ditelan, ia adalah peringatan yang amat berguna bagi Encik Mohamad Yusoff, bapa dua orang anak dan bekerja sebagai pemandu teksi untuk terus menjaga kesihatannya.

 

Malah, beliau berasa lega kerana paras glukos dalam darahnya telah turun kepada 7.7 – lebih rendah daripada 10.5 pada Februari lalu, tetapi belum sampai ke tahap ideal baginya iaitu 6.7.

 

“Data ini buat saya lebih berhati-hati dan terus menjaga pemakanan saya,” katanya.

 

Bagi Dr Hwang pula, beliau dapat merumuskan risiko Encik Mohamad Yusoff yang merupakan salah seorang pesakitnya di Poliknilik Pasir Ris, berdasarkan data Kiraan Risiko Penyakit Jantung atau ‘Cardiovascular Disease (CVD) Risk Calculator’ yang disediakan bagi pesakit kroniknya seperti mereka yang menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.

 

Sistem kiraan risiko CVD tersebut mengandungi data tahap kesihatan semua pesakit kronik Dr Hwang seperti kadar kolesterol, glukos, tekanan darah tinggi dan berat badan mereka yang dimuatkan dalam sistem komputer beliau.

 

Sekali melihatnya, Dr Hwang dapat menjangkakan sama ada pesakitnya berisiko tinggi, sederhana atau rendah untuk mendapat serangan jantung.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Hwang berkata: “Seorang yang menghidap kencing manis, sekaligus tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi iaitu lebih 20 peratus untuk mengalami serangan jantung dalam tempoh 10 tahun.

 

“Risiko sederhana adalah antara 10 hingga 20 peratus dan risiko rendah di bawah 10 peratus. Tetapi sama ada seseorang berisiko rendah atau sederhana bergantung kepada beberapa faktor seperti umurnya.

 

“Seorang penghidap tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi mungkin berisiko rendah, tetapi sebaik saja beliau merokok, risikonya meningkat,” jelas Dr Hwang.

 

Sebelum diadakan sistem data CVD, kerja mengira risiko pesakit dijalankan secara manual dan sangat rumit sekali, kata Dr Hwang.

 

“Tapi kini dengan adanya sistem data dalam komputer ini, doktor dapat membuat penilaian terhadap pesakitnya dengan cepat.

 

“Doktor tidak perlu menghabiskan masa memeriksa dahulu tekanan darah tinggi pesakit dan sebagainya, sebaliknya mereka dapat meluangkan lebih banyak masa memberi kaunseling dan mendidik pesakit tentang pemakanan, senaman dan gaya hidup sihat di bilik rawatan,” katanya.

 

Tugas memasukkan data sejarah kesihatan para pesakit kronik ini pula, termasuk mengambil berat badan, Indeks Jisim Tubuh (BMI) untuk mengira lebihan lemak, dan hasil ujian makmal mereka, dilakukan lebih awal oleh kakitangan di Stesen Pantauan Kesihatan (HMS) di poliklinik itu.

 

Cara yang lebih cekap ini yang bertujuan melancarkan sistem kerja di poliklinik-poliklinik SingHealth, telah diperkenalkan pada 2006.

 

Mulai Mei tahun ini pula, mereka yang menghidap semput juga dikategorikan sebagai pesakit kronik dan perlu menjalani ujian kawalan semput dahulu di HMS sebelum berjumpa doktor.

 

Sistem ini juga menjimatkan waktu doktor dan pesakit di kesemua sembilan poliklinik SingHealth yang menemui 500,000 pesakit setahun. Di Pasir Ris, bilangan pesakit yang mengunjunginya ialah antara 400 hingga 500 sehari.